Sunday, December 20, 2009
Syarahan Perdana Syed Muhammad Naquib al-Attas
* Ini adalah catatan bebas ana yang ditulis dengan
bahasa yang sangat ringkas dan dicatat secara langsung ketika dalam
majlis syarahan Prof pada 13 Disember 2009 di IIM. Dengan penuh rendah
diri dan ampun maaf, segala kelemahan dalam tulisan ini adalah atas
sebab ana yang mungkin tidak berupaya memahami segala apa yang telah
disampaikan oleh Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Bagi sesiapa yang
memahami dengan lebih jelas, harap dapatlah memberi komentar kepada isi
syarahan yang dicatat oleh ana dalam serba kekurangan ini.
Al-Quran
berbicara tentang ilmu. Al-Quran berbicara tentang roh. Al-Quran
berbicara tentang dunia ghaib dan dunia nyata. Al-Quran berbicara
tentang sejarah. Pendek kata, al-Quran merangkumi segala fundamental
asas yang perlu diketahui oleh manusia. Pandangan alam antara satu
tamadun dengan tamadun lain berbeza disebabkan faham masing-masing
terhadap kebenaran mutlak. Perbezaan ini timbul disebabkan pemahaman
yang berbeza-beza tentang tuhan, manusia, ilmu dan sebagainya. Perbezaan
ini berlaku di peringkat asas lagi. Perbezaan fahaman ini telah
mengwujudkan pandangan yang mengelirukan. Ada golongan yang keliru
bermula dari peringkat asas lagi. Kekeliruan yang muncul ini menyebabkan
mereka menyangka bahawa anjakan paradigma itu adalah satu kemestian.
Natijahnya, mereka cuba menyusun semula pandangan itu dengan andaian
bahawa selepas menyusunnya, pandangan mereka akan kembali benar. Mereka
menyusun ibarat mereka sedang menyusun puzzle. Mereka menyangka bahawa
apa yang mereka susun itu benar belaka padahal kesilapan memasukkan
sesuatu petak di tempat yang salah boleh merosakkan keseluruhan gambaran
puzzle yang mereka kehendaki. Hal ini samalah seperti pandangan alam.
Kesilapan mereka membuat perubahan walaupun perubahan itu kecil boleh
merosakkan keseluruhan gambaran pandangan alam. Kita tidak boleh
bercakap tentang sains politik sekiranya kita tidak memahami pandangan
alam yang sebenar. Satu masa dahulu modernis Mesir menyerang sejarah
lampau orang Islam. Mereka berusaha mempengaruhi pemikiran umat Islam
masa kini dan beranggapan bahawa sejarah umat Islam satu masa dahulu
tidak relevan dengan masa kini.
Jika kita terikut-ikut dengan rentak
golongan modernis ini yakni menyerang sejarah lampau Islam bermakna kita
termasuk dalam golongan yang memusnahkan pokok yang telah kita semai
dan tanam. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menebang atau mencabut
akar pokok itu sehingga menyebabkan tamadun yang kita bina akhirnya
runtuh. Menurut modernis, sejarah lampau yang merujuk kepada akar pokok
itu perlu ditebang. Akar sejarah itu perlu diapungkan dan dibiarkan
berjalan dengan sendirinya. Mereka cuba untuk melepaskan ikatan dari
sejarah lampau umat Islam. Mereka beranggapan bahawa mereka boleh
menjadi maju dengan melepaskan diri dari sejarah lampau. Tidak ada
perkataan maju dalam Islam. Parkataan maju itu dipinjam dari Barat.
Barat tidak memahami Islam seperti orang Islam memahami Islam.
Barat
tidak memahami Nabi Muhammad saw seperti orang Islam memahami Nabi
Muhammad saw. Barat menyangka bahawa Nabi Muhammad saw itu sama seperti
manusia lain. Itu tidak benar. Nabi saw adalah sebaik-baik makhluk yang
dijadikan Allah Ta’ala dan Nabi saw menerima wahyu. Al-Quran menyuruh
kita berfikir. Soalnya adakah kita berfikir? Al-Quran berbicara tentang
gunung. Dalam satu ayat al-Quran, ada disebut betapa al-Quran jika
diletakkan di atas gunung maka gunung akan bergoncang dan akan hancur.
Soalnya kenapa gunung? Gunung dianggap sesuatu yang suci oleh kebanyakan
tamadun besar dunia. Ada tamadun yang menganggap gunung sebagai tuhan
dan sebagainya. Orang Melayu juga tidak terlepas dalam hal ini. Orang
Melayu juga mempunyai kepercayaan tersendiri terhadap gunung.
Ada gunung
yang dianggap istimewa bagi orang Melayu misalnya Mahameru dan Bukit
Siguntang. Dalam bahasa Arab, gunung dianggap sesuatu yang berkuasa.
Jadi, apabila al-Quran diturunkan kepada manusia bermakna manusia itu
lebih berkuasa dari gunung. Kita tidak menerima al-Quran dan Rasul
begitu sahaja sebaliknya kita perlu berfikir. Betapa Rasulullah saw itu
insan yang benar-benar hebat kerana menyampaikan isi al-Quran itu kepada
manusia.
Nabi Muhammad saw adalah Qudwatun Hasanah dan Rahmatan Lil Alamin. Rahmat disini bukanlah bermaksud belas kasihan tetapi memberi cahaya kepada seluruh umat manusia. Nabi saw berkata, aku dijadikan sebelum Adam dicipta dari tanah liat. Dalam satu hadith lain, Nabi saw bersabda, aku dijadikan dari cahaya. Rasul-rasul terdahulu telah diperintah untuk memberitahu kedatangan Nabi saw. Sebelum diangkat menjadi Rasul, mereka perlu berikrar dihadapan Allah Ta’ala dengan meyakini bahawa Nabi Muhammad saw adalah Pesuruh Allah dan penutup bagi segala Rasul. Ada sesuatu yang tidak kena dengan umat Islam pada masa ini. Adakah ia berkaitan dengan sistem pendidikan yang pincang?
Umat
Islam pada masa ini menyangka bahawa Islam itu hanya pada solat lima 5
waktu dan mengucap dua kalimah syahadah. Barat dan kepercayaan lain juga
meyakini adanya Tuhan. Tetapi adakah kepercayaan mereka sama dengan
kepercayaan umat Islam? Ada orang Islam yang keliru tentang kepercayaan
kepada Tuhan. Secara lahiriah, semua orang percaya adanya Tuhan. Ketika
di alam roh, semua manusia telah membuat perjanjian di hadapan Allah
Ta’ala dan mengakui kebenaran bahawa Tuhan mereka adalah Allah Ta’ala.
Maka atas sebab itu, sebaik sahaja lahir, keyakinan terhadap Tuhan akan
muncul tetapi kepercayaan terhadap Tuhan mengikut kepercayaan umat Islam
adalah berbeza dengan kepercayaan orang-orang kafir.
Iblis juga percaya
adanya Tuhan tetapi dia angkuh. Ketahuilah bahawa agama selain Islam
adalah tidak sama. Semua manusia percaya adanya Tuhan tetapi agama-agama
lain selain agama Islam tidak dipandu dengan wahyu maka kepercayaan
terhadap Tuhan itu berbeza-beza. Aristotle juga percaya pada Tuhan
tetapi ia hanya percaya pada peringkat intelektual sahaja. Aristotle
tidak meletakkan praktikal sebaliknya hanya menggunakan spekulasi
untukmempercayai adanya Tuhan. Pemikiran seperti ini perlu dijelaskan
bukan hanya di peringkat sekolah tetapi di peringkat tinggi. Inilah
matlamat utama ISTAC ditubuhkan. Pemikiran-pemikiran yang mencabar perlu
ditangani dengan serius. Apabila kita berbicara tentang al-Quran, kita
sebenarnya berbicara tentang isi kandungannya iaitu bagaimana kita
menghayati isi kandungan al-Quran. Al-Quran diturunkan dengan
menggunakan perkataan bahasa Arab yang baru. Ada perkataan didalam
al-Quran yang tidak ada dalam istilah bahasa Arab. Maka sebab itu, kita
hendaklah mempelajari dan mendalami al-Quran dengan betul. Apabila kita
tidak dapat memahami al-Quran dengan makna yang betul maka kita akan
terkeliru. Ada pemimpin kita yang tidak faham atau keliru dengan makna
liberal. Sebagai contoh, mereka beranggapan bahawa wanita bebas
melakukan apa sahaja sedangkan ini tidak betul. Kebebasan ada hadnya.
Sebagai pemimpin, mereka tidak boleh bercakap sesuka hati. Satu lagi
contoh kesilapan pentafsiran makna dari kalangan pemimpin ialah apabila
mereka mengatakan bahawa solat boleh dilakukan dengan membelakangkan
kiblat. Itu tidak betul. Solat dalam keadaan sedemikian hanya boleh
dilakukan jika berada dalam keadaan darurat.
Adab adalah satu perkara yang sangat penting khususnya dalam pendidikan. Ilmu tanpa adab adalah tidak berguna kepada si pencari ilmu. Kata Imam al-Ghazali, orang yang mencari ilmu tanpa adab ini ibarat orang buta yang membawa lilin masuk kedalam gua. Maksudnya disini ialah lilin yang dibawa oleh orang buta itu tidak memberi apa-apa manfaat kepadanya. Adab berkait-rapat dengan melakukan sesuatu perkara dengan betul ditempat yang betul. Untuk melakukan perkara yang betul, ilmu diperlukan. Keadilan tercapai apabila sesuatu perkara itu diletakkan ditempat yang betul. Orang-orang yang berkeahlian didalam sesuatu bidang perlu diletakkan didalam bidangnya. Inilah yang dikatakan sebagai keadilan. Apabila telah diletakkan ditempat yang betul maka mereka perlu menjalankan tanggungjawab. Maka ini disebut sebagai amanah. Ramai orang keliru tentang perkara ini.
Pemerintah keliru tentang perkara ini bahkan pihak agama dan universiti
juga terkeliru dalam hal ini. Mereka tidak meletakkan orang yang betul
ditempat yang betul. Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlulah
memikul tanggungjawab untuk meletakkan orang yang betul di tempat yang
betul. Inilah amanah. Kebanyakan ulama yang ada pada hari ini adalah
mukallim yang bertaqlid pada fuqaha (ulama besar generasi terdahulu).
Ulama pada masa dahulu sangat tawadhuk. Mereka sentiasa berkata bahawa
mereka ada membuat silap tetapi dalam kebanyakan masa yang dihabiskan,
mereka sebenarnya jarang atau mungkin terlalu sedikit berbuat silap. Ini
adalah kerana mereka faham tentang makna adab dan ilmu. Masalah utama
yang melanda umat Islam pada masa ini ialah kejahilan terhadap ilmu.
Kita harus sedar bahawa Internet itu bukannya ilmu. Sebab itu kita kena
soal diri kita semula samada kita kah yang mengurus ilmu atau ilmu itu
yang mengurus kita? Keadilan tercapai apabila kita tahu siapa yang benar
dan kita menyebelahi pihak yang benar. Tidak ada konsep sekerat-sekerat
yakni setengah benar dan setengah salah. Pengadilan didasarkan kepada
kemutlakan yakni samada benar atau salah. Banyak perkara tidak
didefinisikan dengan betul akhirnya ramai menjadi keliru. Kekeliruan
akan menggejala melainkan kita semua kembali kepada wahyu yang merupakan
asas kepada semua perkara. Seperti yang disebut tadi, ramai yang keliru
tentang fungsi al-Quran dan Hadith.
Al-Quran ditafsir dari satu sudut
hanya untuk kepentingan satu pihak sahaja. Sebagai contoh, pengamal
undang-undang mentafsir al-Quran dari sudut perundangan sahaja.
Sedangkan isi kandungan mencakupi semua aspek kehidupan. Begitu juga
dengan hadith. Ada golongan ulama yang mengambil hadith untuk
keperluannya sahaja manakala hadith lain tidak diguna pakai.
Hadith-hadith yang hendak digunakan dibukukan manakala hadith-hadith
yang tidak digunapakai diabaikan. Maka atas sebab itu, banyak hadith
tidak sampai kepada kita dan akhirnya kita sendiri meragui akan
kesahihan hadith itu. Sebagai contoh, hadith yang berbunyi seperti
berikut,
Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang
yang tidak beriman. Ada orang yang tidak percaya ini adalah hadith.
Mereka menyaring hadith mengikut kepentingan mereka sendiri. Golongan
ekonomi misalnya melihat hadith ini sebagai sesuatu yang merugikan umat
Islam kerana umat Islam menjadi mundur. Inilah yang berlaku pada Hamzah
Fansuri. Banyak hadith yang disebut oleh Hamzah Fansuri dianggap bukan
hadith pada masa ini. Ini adalah kerana ada golongan yang telah menolak
hadith yang tidak sependapat dengan mereka lalu mengabaikan
hadith-hadith tersebut.
Tentang soal sekularisasi, ia adalah masalah luaran yang dihadapi oleh umat Islam pada masa ini. Umat Islam tidak menentang kehidupan di dunia tetapi yang ditentang itu ialah ideologi yang menyatakan bahawa tidak ada dunia lain selain dari dunia yang ada pada masa ini. Ada orang menyatakan kita negara sekular. Itu tidak betul kerana subjek agama masih diajar di sekolah-sekolah. Berbalik kepada soal Nabi Muhammad saw, kita tidak boleh memanggil Nabi saw dengan panggilan namanya sahaja. Kita perlu tahu meletakkan kedudukan Nabi Muhammad saw sebagai makhluk Allah Ta’ala yang paling mulia.
Para
sahabat begitu memuliakan Nabi saw. Peluh baginda saw dijadikan minyak
wangi manakala rambutnya yang dipotong ditadah oleh para sahabat lalu
disimpan. Nabi Muhammad saw mengangkat darjat wanita. Nabi Muhammad saw
berkata bahawa syurga itu dibawah tapak kaki ibu. Umat Islam memuliakan
Nabi saw tetapi tidaklah meletakkan kedudukan Nabi saw sebagai Tuhan
seperti mana Kristian menjadikan Nabi Isa as sebagai tuhan mereka. TIdak
ada manusia seumpama Nabi saw dalam mana-mana tamadun manusia baik
dahulu, sekarang mahupun yang akan datang. Tokoh-tokoh lain seperti
Buddha hanya tertumpu kepada soal moral tetapi Nabi saw memberi
perhatian kepada seluruh kehidupan manusia.
Kaum Kristian tidaklah
sepenuhnya mengikut ajaran Nabi Isa as kerana jika mereka mengikut
secara mutlak sudah pasti tidak ada generasi Kristian selepas Nabi Isa
diangkat ke langit. Ini adalah kerana Nabi Isa as tidak berkahwin
sepanjang hayat baginda sebelum baginda diangkat ke langit.
Soal-jawab
Adakah ahli politik adalah orang yang paling tepat atau paling layak untuk memimpin umat Islam?Ahli politik penting dan memang ada keperluan untuk jadi pemimpin. Ini ada disebut dalam Aqaid an-Nasafi. Apapun ahli politik yang baik adalah ahli politik yang mempunyai akauntabiliti, bertangunggjawab dengan memegang amanah dan faham serta tahu dalam banyak perkara.
Adakah ahli politik adalah orang yang paling tepat atau paling layak untuk memimpin umat Islam?Ahli politik penting dan memang ada keperluan untuk jadi pemimpin. Ini ada disebut dalam Aqaid an-Nasafi. Apapun ahli politik yang baik adalah ahli politik yang mempunyai akauntabiliti, bertangunggjawab dengan memegang amanah dan faham serta tahu dalam banyak perkara.
Penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan Islam. Adakah ia dibolehkan?Dahulu pernah timbul isu ini dimana pihak gereja dari Pulau Pinang memohon untuk menggunakan kalimah Allah. Satu mesyuarat telah diadakan di ISTAC bagi menjawab permasalahan isu ini. Soalnya kenapa mereka mahu menggunakan kalimah Allah? Mereka menyatakan bahawa mereka ingin berdoa dalam bahasa Melayu dan mahu menggunakan kalimah Allah. Sebenarnya kita harus faham, kalimah Allah bukanlah terjemahan kepada God. Terjemahan God dalam bahasa Melayu ialah Tuhan. Jadi, jika mereka ingin berdoa dalam bahasa Melayu maka gunalah istilah Tuhan sahaja. Kita tidak boleh membenarkan golongan bukan Islam menggunakan nama Allah kerana mereka tidak faham makna Allah sebagaimana kita faham Allah. Seperti yang disebut tadi Allah bukanlah terjemahan dari God. Sebab itu dalam syahadah disebut, “tiada tuhan melainkan Allah” bukannya “tiada tuhan melainkan tuhan”. Sekali lagi dijelaskan bahawa kita tidak boleh membenarkan perkara ini terjadi.
Tentang Tariqah dan sufi
Kebanyakan tariqah yang ada pada masa ini tersasar dari maksud tariqah yang sebenar. Ramai ahli sufi tidak faham tentang makna sufi. Ibnul Arabiy pernah berkata, Ramai orang menggunakan perkataan sufi sedangkan mereka langsung tidak tahu tentang makna perkataan itu. Saya (kata Prof Syed Muhammad Naquib) telah mengkaji 9 tariqah sufi di Tanah Melayu satu ketika dahulu dimana ketika itu mereka masih berpegang kepada amalan sufi yang sebenar iaitu mengajar manusia menjadi baik. Ini adalah asas tariqah. Sufi bukannya ilmu rahsia. Sebab itulah Durr al-Manzhum, kitab sufi yang terkenal satu masa dahulu telah diperintah oleh Sultan Melaka untuk diterjemah di Pasai supaya ianya dipelajari.
Transcendental Unity of ReligionFaham ini ada kaitan dengan cubaan politik yang hendak menguasai dunia. Jika pun sarjana Islam bersetuju pendapat dengan sarjana bukan Islam itu tidak bermakna kesatuan agama itu boleh dilakukan. Jika perkara ini berlaku di sini, maka ianya perlu diawasi kerana ianya pasti berkaitan dengan agenda politik yang ingin menguasai pemerintahan. Cubalah kita andaikan, adakah kemungkinan penganut agama lain mahu bersolat jemaah bersama-sama umat Islam didalam masjid. Jadi bagaimana boleh dikatakan bahawa agama-agama itu boleh disatukan?
Sifat 20 Allah. Adakah diambil dari Greek?(Kata Prof Syed Muhammad Naquib) Siapa kata? Orang Greek tidak menerima wahyu. Jika ada orang Greek menerima wahyu maka ia pastilah dari wahyu yang telah dibawa oleh Nabi-nabi dari Bani Israel. Sifat 20 bukan dari Greek atau sebagainya sebaliknya adalah dari al-Quran.
Tentang IslamisasiIslamization tidak boleh disebut sebagai Islamisization. Prof mengaitkannya dengan istilah metaphysic of Islam yang tidak boleh disebut sebagai Islamic metaphysic. Islamic bermakna kita memasukkan elemen Islam. Ini bukanlah maksud sebenar yang hendak disampaikan. Keadaan ini samalah seperti religion of Islam bukannya Islamic religion. Sebab itu Islam bukannya terletak pada elemen atau benda dan sebagainya seperti islamic bicycle dan sebagainya. Kita kena perlu faham betul-betul makna Islam.
Tulisan (Isi Kandungan buku) Prof yang susah hendak difahamiSaya (kata Prof) menulis dengan meneliti terlebih dahulu setiap perkataan yang betul sebelum ia dimasukkan. Maka si pembaca perlu mengikut setiap patah perkataan yang saya tulis dan cari maknanya. Buku yang saya tulis bukan buku cerita dan isi kandungannya memerlukan tafakkur. Ada professor yang membacanya berpuluh kali tetapi masih tidak faham. Ada orang mengatakan bahawa tulisan saya yang berkaitan dengan metafizik susah hendak difahami tetapi buku saya yang bukan berkaitan dengan metafizik pun mereka tidak juga faham. Sebagai contoh, buku Trengganu Inscription masih ramai yang belum faham tentang isi kandungannya padahal ia bukannya berkaitan metafizik. Inilah yang berlaku apabila manusia lebih percaya kepada mesin bukannya daya intelek. Sebab itu daya pemikiran manusia menjadi terbatas.
No comments:
Post a Comment